Ki-nota: ArtisKoloni #2
Esei ini adalah pendapat peribadi saya Mohammed Zaki Zakaria:
IDEA, FUNGSI, DAN PERMASAALAHAN DISEBALIK KEWUJUDAN ARTIS DAN KRAF KOLONI
IDEA, FUNGSI, DAN PERMASAALAHAN DISEBALIK KEWUJUDAN ARTIS DAN KRAF KOLONI
Kita lihat di sesetengah tempat, ada bangunan unik. Ada tugu peringatan bersejarah. Ada kolam dipenuhi hidupan yang seni. Sungguh menawan. Pihak berwajib mencapai peruntukan untuk pemulihan kawasan. Dengan anggapan dan harapan mungkin tarikan pelancung kunjung sambil menyaksikan keunikan, mereka berbelanja. Juga kelihatan di sesuatu tempat, taman ternakan spesis haiwan tertentu. Zoo negara diwujudkan mungkin untuk tujuan orang-ramai dapat mengenali spesis haiwan yang berbagai. Pantai yang indah, sungai yang mengalir, sawah padi terbentang luas, gubahan seni-taman yang khusus dan keramahan kampung halaman. Semuanya punyai nilai tarikan, disamping penduduk tempatan berkesempatan mengenali dan beramah-mesra dengan pengunjung dari luar. Mungkin ada sesuatu yang hendak disampaikan. Pihak kerajaan bersetuju menyediakan modal untuk penyelengaraan tapak demikian.
■ Khusus pada para artis seni tampak dan para karyawan kraf yang sedang giat berkarya di lokasi Artis dan Kraf Koloni, jalan Conlay KL. Sejumlah karya mereka bukanlah semestinya berjaya dijual namun setidaknya terdaya menarik pengunjung. Bahkan diantara karya tersebut ada yang berkesan mewujudkan nostalgia berlanjutan dalam sanubari pelancung dan mereka berjanji akan berkunjung lagi.
Persetujuan awal dari kementerian yang menyediakan biaya infrastruktur untuk kegiatan seni di lokasi ini, adalah dengan harapan kebaikan untuk semua pihak.
Oleh kerana artis adalah diri yang dianggap bagaikan diri-diri lain, maka segolongan tertentu berpendapat, itu 'satu perniagaan yang menguntungkan'. Hinggakan timbul pelbagai persoalan dikalangan pemodal terhadap tapak lokasi.
Karya seni bukanlah seperti barangan keperluan harian atau alat ganti kenderaan. Ianya juga bukanlah hotel dan restoran. Hasil karya seni adalah bersifat 'Wajah Unik Kebudayaan' untuk dikenali. Ianya lebih berfungsi menggambarkan imej budaya tempatan dari sudut yang pelbagai. Ianya untuk menarik pengunjung dalam dan luar negara yang ingin menghayati budaya tempatan secara lebih dekat dari pelbagai penjuru.
■ Disegi keberhasilan pendapatan, walaupun bukanlah karya seni yang mereka beli namun pengunjung akan berbelanja di lokasi berdekatan untuk keperluan dan riadah mereka. Nah, bukankah kewujudan aktiviti seni dan kraf memberi kesan positif, dan suatu pendapatan kepada pengusaha perniagaan lain, setidaknya ?
Pernah suatu ketika tapak tersebut dicadangkan oleh pihak tertentu, ditutup untuk kesenian atau kos sewaan permis perlu dipertikaikan. Namun mereka terlupa fungsi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara akan terjejas.
"tapak Artis Koloni untuk kegiatan seni ini bukanlah kekal untuk selamanya. Bahkan mana-mana tapakpun berkeadaan demikian. Suatu ketika nanti jika kerajaan membuat keputusan untuk mengambil tapak ini untuk sesuatu usaha maka kementerian akan terlebih dahulu mengumumkannya kepada mana-mana pihak yang terbabit". Begitulah apa yang saya faham dari ucapan Dato' Seri Mustaffa Muhamad selaku Menteri Usahawan ketika perasmian Artis Koloni dulu pada tahun 1997 bulan Sept.
Baiklah, sebagai berperikemanusiaan dan pertimbangan wajar yang kami harapkan dari pihak berwajib, jika demikian keadaannya semoga dapatlah mewujudkan tapak baru sebagai gantinya. Ini suatu cadangan yang mana mempertimbangkan para pelukis dan pengkarya kraf yang sudah sekian lama menyewa di Artis/Kraf Koloni dan telah gigih bergiat memasyhurkan lokasi ini. Semoleknya diberi penghargaan setimpal melalui penyediaan tapak baru, sebagai ganti.
■Para artis seni tampak, para pengkarya kraf dan penggemar seni tampak tempatan menganggap lokasi tersebut bagaikan 'oasis for artists in the city'.
■Gelombang pertama yang mempertahankan lokasi tersebut untuk para karyawan seni dan kraf adalah sejumlah wartawan NSTP, sejumlah wartawan UtusanMalaysia, pelancung barat, para penggemar seni tampak dalam dan luar negara, dan para Peserta Kraf Kebangsaan. Gelombang kedua terdiri dari profesional tempatan.
Kini hari ini, beberapa pembangunan di sekitar lokasi ini mungkin secara tidak sengaja telah menjejaskan kegiatan harian kraf dan seni. Para pekerja binaan berdekatan menggunakan lokasi ini untuk berehat, dan kemudahan infrastuktur yang tidak dipulihkan. Bila ditinjau secara lebih dekat biaya pemulihan infrastruktur tersebut tidaklah terlalu tinggi, namun penangguhannya penyebab kos kelihatan meningkat. Kini lokasi artis dan kraf koloni tidak lagi seindah dulu.
Wujud permasaalahan selanjutnya adalah terkait dengan binaan-binaan tertentu, umpamanya projek MRT yang belum siap, dan lot-lot tertentu ditukar fungsi oleh pengusaha untuk kegiatan yang berbeza sama-sekali. Kelihatan lokasi parking kenderaan sepatutnya untuk pengunjung karyaneka dan kraf/artis koloni, namun sarat dengan kenderaan asing yang tiada kaitan.
Pada tahun 2016 kami digemparkan dengan khabar-berita Pejabat Kraftangan Kuala Lumpur dan aktiviti sekitar yang berkaitan dengannya akan dipindahkan ke lokasi baru yang tidak pasti dimana tapaknya. Hebohan demikian mengakibatkan ramai pengunjung dan kolektor seni mempersoalkan kesohehan khabar tersebut. Diantara mereka percaya aktiviti Artis dan Kraf Koloni tidak lama lagi akan ditutup. Khususnya kolektor dari luar negara yang tentunya kehadiran mereka secara berkala, boleh dengan mudah beralih ke lokasi lain. Bukan hanya negara kita yang ada kegiatan seperti ini, sudah tentu.
■Pendapat peribadi saya, demikianlah antara puncanya permasaalahan yang artis hadapi yang mengakibatkan kehilangan pengunjung justeru membatasi pendapatan artis dan pengkarya. Kenaikan sewa permis secara mendadak yang bakal dihadapi oleh penyewa adalah suatu kedukaan. Harapan saya kerajaan melalui kementerian dapat memaklumkan permasaalahan yang dihadapi ini.
Mengenai keuangan negara kini, kerajaan mengumumkan hutang luar meningkat. Bayangkan keadaan keuangan raayat jika kerajaan berkeadaan demikian, terutamanya yang terbabit dengan barangan seperti lukisan dan kraf. Pendapat saya, barangan sebegini amat bergantung kepada keupayaan ekonomi dan keuangan semasa tempatan. Namun harapan kami kepayahan sebegini tidaklah selama-lamanya.
Harapan saya, para artis dan karyawan kraf koloni amat berharap orang-ramai, para pelawat, para pengusaha, para profesional, wartawan dan kementerian dapatlah kiranya memberi sokongan moral dan harapan agar akitivi kami di sini diteruskan demi untuk Malaysia yang peramah. Malaysia tanah-airku tercinta. Amiin.