the architecture in art #1
Pengertian Seni:
• Menurut Kamus pelajar bahasa Malaysia, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1988): 'Seni' bermaksud amat kecil, halus, elok, molek, kecekapan atau kepandaian membuat sesuatu yang indah-indah.
• Berdasarkan Ensiklopedia Malaysiana (1996:453): 'Seni' ialah sesuatu yang indah pada pandangan pancaindera manusia sama ada melalui penglihatan atau pendengaran.
• Merujuk kepada Oxford Student Dictionary Of Current English For KBSM, Fajar Bakti (1989:33) menyatakan: 'Art' the creation or expression of what is beautiful, especially in visual form: great skill or ability in such expression.
• Pandangan Ibnu Khaldun; "Seni itu adalah kebenaran, keindahan dan kebaikan dimana didalamnya terkandung ciri-ciri estetika dan logika".
• Seni juga membawa maksud kebolehan mencipta, melukis, mengukir, mengubah dan sebagainya. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai hasil buatan manusia yang diatur dengan mahir dan boleh digunakan untuk menyuarakan pengalaman manusia.
Pengertian seni secara umum agak luas. Adanya seni tari, seni muzik, seni bina, seni lakon, seni silat, seni ukir, seni lukis, seni kraf, seni penulisan dan berbagailah. Kesenian sebegini ada kumpulannya sendiri. Umpamanya Seni Persembahan meliputi seni lakon, seni suara dan sebagainya. Seni Penulisan Kreatif adalah mengenai penulisan cerpen, puisi, skrip drama dan sebagainya. Seni Visual atau Tampak meliputi seni Kraf, seni lukis, seni ukir, seni bina dan sebagainya.
Pengertian Seni Rupa: Seni-rupa atau visual art adalah seni yang dihayati dengan indera penglihatan yang wujud dari ungkapan perasaan. Ianya dizahirkan melalui media garis, bidang, warna, tenunan, dan gelap-terang. Istilah Visual adalah perkara yang boleh dilihat atau disentuh. Jadi, ianya tergolong dalam sesuatu yang boleh dilihat dan disentuh antaranya catan, lukisan, arca, ukiran, dan binaan bangunan. Seni-rupa dapatlah difahami sebagai hasil kegiatan penciptaan berdasarkan taraf karya seni-rupa yang bersumber dari perasaan hiba, puitis, nostagia atau pengamatan atau yang dinyatakan melalui suatu rupa bentuk yang dapat menggetarkan perasaan sehingga timbul kesan-kesan tertentu dan memperolehi kepuasan. Dengan demikian seni-rupa atau sering disebut visual art adalah 'penjelmaan' berupa bentuk yang dapat dihayati melalui indera penglihatan selanjutnya akan menimbulkan kepuasan rohani. Ia bukan sekadar dilihat, bahkan perlu difahami maksudnya atau setidak-tidaknya memahami cara membuatnya, siapa membuatnya, mengapa ia dibuat, apa fungsinya, apa rujukannya, apa gagasannya dan berbagai-bagai lagi. Maka, ianya menjurus kepada penghargaan melalui olahan pemahaman dan pembahasan yang terjadi baik secara lisan mahupun tulisan.
Olahan pemahaman ini melibatkan penggunaan laras 'bahasa tampak' tertentu seperti unsur-unsur garisan; rupa; bentuk; ruang; jalinan; warna; rukun rekaan seperti harmoni, kepelbagaian, berlawanan, penegasan, imbangan; pergerakan, irama, rentak, pengulangan, kesatuan; bahan dan alat; teknik dan gayaan; istilah dan tandaan. Perhubungan melalui lisan dan tulisan akan menjadi lebih berkesan jika laras bahasa ini dikuasai sebaiknya oleh seseorangan atau masyarakat.
Ada sejumlah unsur dasar yang menentukan kewujudan seni-rupa. Ia adalah titik, garis, bidang, bentuk, warna, dan tenunan. Titik adalah unsur rupa seni-rupa dua dimensi yang paling asas. Dari sebutir titik dikembangkan menjadi garis atau bidang. Sebuah gambar dalam bidang gambar akan berawal dari sebutir titik dan berhenti pada sebutir titik terakhir. Garis adalah suatu hasil goresan nyata dan terbatas pada suatu benda, ruang, rangkaian masa dan warna. Garis boleh jadi panjang, pendek, tebal, tipis, lurus, melengkung, berombak, pugak, mendatar, sudut-menyudut, patah-patah, putus-putus, dan berbagai lagi. Pelbagai garis yang memiliki perwatakan berbeza seperti; keras, kokoh, seimbang, lembut, bersemangat, gerak, dan masih banyak lagi. Dari rupa garislah terbinanya tulisan, gambar, coretan, tandaan, dan lain-lain. Keadaan sehingga garis menjadi unsur kesatuan dan paduan yang setiap garis saling mengisi.
Senibina: Ia terbentuk daripada seni yang ditertibkan. Ia bagaikan seni yang bersenyawa dengan matematik, geometri, sains, teknologi, sains sosial, politik, sejarah, falsafah, dan kejuruteraan. Pendapat seseorang penulis asing mengenai senibina; "ianya adalah seni yang wujud dari kesenian lain, dan dihiasi dengan pelbagai pengetahuan". Dia menambah lagi; "seorang arkitek harus peka terhadap bidang lain umpamanya muzik, astronomi dan falsafah". 'Falsafah senibina' antaranya seperti modernism, rationalism, empiricism, minimalist, dan postmodernism, hingga kini sering dikaitkan dengan keberadaan seseorang arkitek. Sekadar menyebut beberapa 'falsafah', tersangka mempengaruhi fikiran sejumlah arkitek. 'Falsafah senibina' sedemikian semoga tidaklah seperti anika ragam pakaian di pasaran.
Sewajarnya kegunaan sesuatu binaan dikenali melalui rupa-bentuknya. Rupa-bentuk binaan sewajarnya wujud dari gagasan yang matang. Persoalan, bagaimana mencapai kematangan ? Sangat mungkin, kematangan dicapai dari mengenali tujuan ia dibina; kepadatan unsur hidup dan unsur kaku yang wujud di persekitaran; susunan unsur alam, persekitaran dan muka bumi merangkumi udara, air, tanah, suhu, cuaca, dan iklim; budaya, pakaian rasmi, cara masyarakat dan ahlinya bergaul dan berhubungan; jumlah pembiayaan; dan pemilihan bahan binaan yang sesuai.
Gagasan senibina jarang berupa suatu lukisan atau ukiran atau arca. Ia mengenai tindak balas manusia selaku pengguna memanfaatkan benda, ruang, suasana atau keadaan yang wujud. Dalam senibina bukanlah perkara aneh jika sejumlah besar perhatian berlegar mengenai bangunan.
Masa kini, wujudnya keindahan seni pada rekabentuk senibina banyak dibantu antaranya oleh kemajuan dalam teknologi. Seseorang arkitek harus memastikan rekabentuknya sesuai dengan tujuan pembangunan kebendaan yang sewarasnya dilihat dari sudut kesusilaan. Walaupun dibatasi oleh keperluan undang-undang di sesuatu wilayah yang terbina dari pengetahuan yang mungkin berbeza, ia bukan masaalah. Mengenai pengekalan alam semulajadi, senibina mampu menyedarkan masyarakat. Terhadap kepercayaan yang berbeza dalam masyarakat, senibina terdaya memperbaiki budaya dan menyederhanakan keadaan.
Budaya: Diumpamakan sebuah rumah peribadi mungkin mempunyai satu bilik mandi, yang digunakan oleh kedua-dua jantina. Namun ukuran budaya dan kod pembangunan sesuatu tempat adalah penentu. Sebagai contoh, sesebuah bangunan awam perlu punyai tandas yang berasingan untuk jantina berbeza. Demikian rekabentuk terbaik terdaya melayani segala tuntutan waras pengguna, dan mengemukakan gagasan yang berfaedah untuk semua pihak.
Kejuruteraan: Zaman ini, ketika kepadatan penduduk terus meningkat, arkitek harus lebih waspada dalam hal memanfaatkan infrastruktur untuk membantu melengkapkan keberadaan sesebuah binaan. Hal tersebut antaranya adalah mengenai pembekalan tenaga elektrik dan peralatan, pembekalan air bersih dan saluran, pembentungan, tempat pembuangan sisa dan cara pelupusan sisa buangan. Menentukan susun-atur yang sesuai untuk pemulihan bahan dan peralatan ketika bermasaalah. Keadaan semestinya tidak menjejaskan struktur binaan, tidak menghalang keselesaan, dan tidak membazir.
Struktur binaan: Bencana, samaada malapetaka alam atau malapetaka buatan manusia, harus diambil kira. Bangunan di kawasan gegaran bumi seperti Utara Sumatera sewajarnya memiliki ciri yang mampu menahan gegaran. Di Florida, tempat yang belum pernah berlaku gempa bumi, ciri penahan gegar tidak diperlukan. Kini banyak rekabentuk bangunan besar menjalani simulasi melalui komputer untuk melihat bagaimana rekabentuk mereka mampu bertindak balas terhadap tekanan udara atau tiupan angin ribut yang mendadak. Jadi, senibina adalah mengambil kira hampir semua perkara; keselesaan, ketahanan, keselamatan, pembiayaan, dan pencantuman antara keindahan seni dan kemunasabahan.
Rekabentuk juga harus memandang penting persekitaran bangunan yang bakal ditempatkan. Di lokasi pembangunan samaada pendapatan rendah atau pendapatan tinggi, adalah lebih baik jika struktur asal tanah persekitaran tidak banyak diubah.
Di kawasan pendapatan rendah terjadi banyak cerita hanya kerana sebuah bangunan kecil bakal dibina. Biaya pampasan tanah, infrastruktur yang kurang lengkap, tahap kebebasan masyarakat yang pelbagai dan tidak menentu, tekanan dari kemiskinan, ketertiban diri, dan banyak lagi cerita. Keberadaan sebegini, sebahagian penyelesaian amat bergantung kepada gagasan senibina yang bijaksana.
Tulisan diatas mungkin mengelirukan perasaan pihak tertentu. Seandainya demikian, hal yang tidak disengajakan. Saya mohon maaf sebanyaknya.